KARANGAN JENIS AUTOBIOGRAFI


BIMBINGAN BESTARI :

1).   Karangan jenis autobiografi ialah karangan tentang riwayat hidup penulis dari awal hingga akhir.
2).   Biasanya karangan jenis autobiografi yang ditanyakan dalam UPSR menghendaki anda mengandaikan diri anda sebagai sesuatu benda seperti buku, jam tangan, beg, dan sebagainya.
3).   Oleh itu, perkara-perkara yang berikut perlu diambil kira apabila menulis karangan jenis ini :
       a)   asal-usul atau tempat anda dibuat 
       b)   bagaimana bentuk atau rupa anda
       c)   siapakah yang menggunakan anda
       d)   apakah tugas yang dapat anda lakukan
       e)   pengalaman atau peristiwa yang pernah anda tempuh
       f)   apakah yang terjadi kepada anda akhirnya.
4).   Karangan jenis biografi pula biasanya menghendaki anda menceritakan riwayat hidup seseorang. Contohnya riwayat hidup seorang tokoh, guru, ibu, ayah, dan sebagainya.
5).   Anda perlu mempunyai pengetahuan tentang perkara yang hendak diceritakan supaya cerita itu munasabah.
6). Penggunaan ungkapan atau peribahasa yang sesuai boleh digunakan supaya karangan anda lebih menarik.

CONTOH KARANGAN :


Aku adalah seutas rantai. Aku dibuat daripada emas. Badanku sangat cantik dan berkilat. Kemudian, aku diletakkan di dalam cermin kaca. Di situ aku menemui kawan-kawanku yang lain. Para pengujung selalu melihat-lihat aku. Aku berasa sungguh bangga.
Aku dibeli oleh seorang wanita. Wanita itu mengalungkan aku ke lehernya. Aku berasa bahawa wanita itu bermegah kerana dapat memiliki aku.
Pada suatu hari, tiba-tiba seorang pemuda menyentapku. Badanku putus dua. Wanita itu menjerit meminta tolong. Mujurlah ketika itu ada seorang anggota polis di situ. Dia pun mengejar pemuda itu dan berjaya menangkapnya.
Kini, badanku tidak secantik dulu. Wanita itu menghantar aku ke kedai emas. Dia menukarkan aku dengan seutas rantai emas yang lain.
Hidup aku tidak segembira dulu. Aku mendengar khabar bahawa aku akan dileburkan oleh tukang emas. Aku akan diberi wajah baru.